LARUT, 31 Julai — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas pihak yang sanggup berhimpun beramai-ramai dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika negara sedang berdepan penularan varian Delta pandemik COVID-19 ketika ini.
Beliau berkata tindakan itu tidak seharusnya berlaku apabila tidak mematuhi Op Patuh dan menggagalkan usaha kerajaan untuk melandaikan lengkuk COVID-19 dengan berkumpul di tempat awam.
Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melihat dari sudut kegagalan mematuhi SOP dan jika ada, tindakan akan diambil.
“Waktu ini patutnya kita patuh SOP. Rakyat sepatutnya faham SOP. Kami hanya benarkan essential services. Berkumpul dan membuat demonstrasi adalah satu kesalahan. Inikan pula dilakukan waktu negara dalam keadaan darurat. Kadangkala ada netizen yang mulanya marah apabila sektor kilang dibenarkan beroperasi, tetapi orang yang sama juga mengajak orang lain untuk berkumpul.
“Saya rasa mereka double standard. Kumpulan ini cuba memecahbelahkan dan menimbulkan perasaan tidak senang. Kemudiannya (selepas dijangkiti COVID-19) barulah mereka sedar bahawa varian Delta ini merebak dengan cepat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata polis akan memanggil semua pihak yang terlibat dalam satu perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini termasuk penganjur untuk tindakan seterusnya.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata kehadiran beberapa tokoh atau pemimpin politik hanya mengeruhkan lagi keadaan dan merosakkan imej negara yang sedang berperang dengan pandemik COVID-19 ketika ini.
“Mereka bukan tokoh tapi ingin rosakkan negara. Saya tidak panggil mereka tokoh tetapi penghasut,” katanya dan menambah tindakan susulan akan diambil dan diumum dari semasa ke semasa.
Terdahulu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menyampaikan sumbangan kira-kira 1,000 kotak makanan kepada penduduk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Siputeh, Ulu Selama. Turut hadir Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani dan Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Hamzah turut mengumumkan peruntukan segera kira-kira RM200,000 untuk pembelian kit ujian COVID-19 agar saringan secara besar-besaran dilakukan dengan segera di kawasan tersebut sekali gus mengawalnya daripada terus merebak.
Seramai 5,152 penduduk di empat kampung membabitkan Kampung Sungai Seputeh, Kampung Teluk Mas, Kampung Garok dan Kampung Tapah, di Ulu Selama terlibat dalam PKPD selama 14 hari bermula tengah malam 27 Julai hingga 9 Ogos.