JOHOR BAHRU, 31 Julai – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Ayer Hitam mengutuk sekeras-kerasnya cubaan pihak pembangkang di Dewan Rakyat yang mahu menggugat kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ketua BERSATU Bahagian Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian berkata, tindakan itu adalah tidak wajar dan pihaknya menzahirkan sokongan penuh dan tanpa belah bahagi terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan kepimpinannya dalam kerajaan PN.
“BERSATU Ayer Hitam juga menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru agar semua Ahli Parlimen memberikan keutamaan kepada usaha menjaga kesejahteraan rakyat serta agenda menyelesaikan masalah COVID-19 pada sidang khas Parlimen yang kini berlangsung.
“BERSATU Ayer Hitam juga sentiasa bersedia dalam melaksanakan agenda membela rakyat. Menyeru semua pihak berganding bahu, bersatu padu dan mengelakkan sebarang perbezaan pandangan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan situasi pandemik COVID-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor berharap agar rakyat dan semua pihak dapat bertenang dalam menghadapi situasi terkini.
“Bersama kita berdoa agar kemelut politik dan pandemik COVID-19 akan segera berakhir,” katanya yang juga bekas Menteri Besar Johor.