Labuan yang pertama capai imuniti kelompok – Suhaili

LABUAN, 1 Ogos — Kejayaan Labuan menjadi wilayah pertama mencapai imuniti kelompok adalah hasil kerja keras kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU.

Ketua Bahagian BERSATU Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata ia disebabkan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang banyak di wilayah itu.

“Kerajaan Perikatan Nasional serta BERSATU telah banyak memberikan bantuan selain permudahkan program vaksinasi kepada semua penduduk Labuan.

“Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, yang mengambil berat tentang keadaan Labuan selain memainkan peranan penting dalam pelaksanaan lockdown di wilayah ini.

“Pencapaian ini tidak akan tercapai tanpa usaha Jabatan Penerangan yang keluar masuk ke kampung untuk memberikan kesedaran tentang kepentingan vaksin,” katanya kepada Wacana.my.

Labuan selesai memvaksinasi penuh 80 peratus populasi dewasa, menjadikan pulau bebas cukai itu Wilayah Persekutuan dan negeri pertama di Malaysia mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan COVID-19.

Wilayah Persekutuan itu telah memberi suntikan vaksin kepada 54,800 daripada 68,500 penduduk dewasa yang disenaraikan sebagai layak untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Kejayaan mencapai kelompok imuniti itu pada 27 Julai lalu adalah tiga hari lebih awal berbanding sasaran asal pada 30 Julai.

Mengulas lanjut, Suhaili yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata Labuan turut mempraktikkan apa yang dibuat di Semenanjung, iaitu pemberian vaksin secara ‘walk-in’, ‘drive-thru’ dan rumah ke rumah untuk golongan orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang terlantar sakit.

Di samping itu, katanya, BERSATU tidak pernah melupakan nasib-nasib rakyat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan pada Mac 2020.

“Sejak PKP 1.0 berkuat-kuasa, BERSATU Labuan tidak pernah berhenti menyumbangkan bakul makanan kepada rakyat yang terkesan.

“Bantuan barangan makanan yang diberikan juga sangat berkualiti seperti seekor ayam, beras, sardin, minyak masak dan banyak lagi,” katanya.

Tambah beliau, walaupun Labuan telah mencapai kelompok imuniti lebih awal berbanding negeri-negeri lain, prosedur operasi standard (SOP) tetap akan dipatuh dan diikut sehingga peperangan menentang pandemik COVID-19 benar-benar berakhir.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *