KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Jemaah Menteri akan membincangkan usul membabitkan pembatalan Ordinan-Ordinan darurat dalam mesyuarat Kabinet esok.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat secara harmoni dan berperlembagaan.
Menurutnya, sebelum ini proses pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai 2021 tidak dapat disempurnakan.
“Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit.
“Maka, selaras titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan Ordinan-Ordinan Darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada September 2021,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.