Iltizam PTPTN bina masa depan lebih cemerlang

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak ketinggalan menyahut agenda transformasi kerajaan dalam merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan mengambil kira Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Justeru, Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 yang dilancarkan pada 29 Julai lalu bertujuan untuk memperjelas dan memberi fokus kepada dasar dan aktiviti PTPTN bagi tempoh lima tahun akan datang selain mempertingkatkan daya saing, integriti dan semangat ‘esprit de corp’ di kalangan warga PTPTN dalam usaha mencapai objektif yang sama.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Raja Nur Faznie Aida bersama Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan bagi mengupas dengan lebih terperinci mengenai Pelan Strategik PTPTN 2021-2025.

SINAR HARIAN: PTPTN telah melancarkan Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 baru-baru ini. Boleh terangkan apakah lima teras strategik utama yang terkandung di dalam pelan tersebut?

WAN SAIFUL: Pelan Strategik ini adalah fokus utama kita untuk menambah baik fungsi dan peranan PTPTN. Pertama, kita fokus kepada produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Ini kerana kita mahu menjadikan SSPN sebagai produk simpanan pendidikan dan pilihan utama di Malaysia, sekali gus memupuk budaya menabung dalam kalangan masyarakat. Kita mahu semua rakyat Malaysia menabung. Tidak semestinya mereka yang berkemampuan sahaja menabung, tetapi kita ingin memastikan mereka yang berpendapatan rendah juga boleh menabung dan peroleh manfaat sama.

Teras kedua ialah memperkasakan pengurusan pinjaman pendidikan ke arah menjadi pengurus pinjaman pendidikan utama dan unggul. Ini bertujuan untuk memantapkan pengurusan pinjaman pendidikan lebih bertanggungjawab dan saksama, sekali gus dapat memberikan hasil kepada pengurusan dana pinjaman lebih efisien serta dinamik. Teras ketiga, menambah baik pengurusan kutipan bayaran balik pinjaman dengan lebih efektif. Ini satu isu sentiasa menjadi kontroversi dalam masyarakat kerana mereka melihat PTPTN sebagai pemberi pinjaman, namun kurang rasa tanggungjawab atau tidak mampu untuk membuat bayaran balik pinjaman. Jadi, kita mahu menambah baik proses kutipan bayaran balik itu supaya ia menjadi efektif dan fleksibel. Satu usaha yang saya cadangkan juga ialah kita ingin memastikan bahawa isu pinjaman ini tidak dipolitikkan.

Teras keempat pula ialah melaksanakan strategi pendanaan dan pelaburan yang mendatangkan pulangan optimum. Kita ingin melestarikan PTPTN dengan strategi pendanaan lebih efektif dan mampan serta menjana lebih banyak pulangan pelaburan melalui kepelbagaian medium pelaburan.

Teras kelima, memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang dengan mengambil kira pengubah suaian imej, budaya dan proses kerja. Ia juga secara tidak langsung menjadikan PTPTN sebagai sebuah organisasi berdaya saing, sekali gus menjadi majikan pilihan pekerja agar dapat melahirkan warga kerja cemerlang, kompeten dan proaktif dalam menyumbang kepada kejayaan organisasi.

Apakah hala tuju strategik yang akan dilaksanakan PTPTN untuk memperkasakan kelima-lima teras strategik tersebut sekali gus mengukuhkan peranan PTPTN?

Pelan ini dirangka bagi menetapkan hala tuju PTPTN yang menggariskan lima teras strategik menjadi asas kepada perancangan dasar, pelaksanaan program dan pembangunan dalam tempoh lima tahun akan datang. Selain itu, ia juga merupakan salah satu usaha memastikan agar visi, misi, objektif dan moto PTPTN kekal relevan di samping menitik beratkan nilai-nilai yang perlu dihayati dan diamalkan warga PTPTN; antaranya ialah profesionalisme, tadbir urus strategik dan berintegriti, pelanggan diutamakan, tepat dan cekap serta nilai tambah.

Bagaimana PTPTN dapat menentukan kejayaan pelaksaanan Pelan Strategik tersebut?

Pelan Strategik ini menitik beratkan tanggungjawab serta tindakan sewajarnya bagi memastikan matlamat penubuhan PTPTN dapat dicapai dalam semua aspek. Justeru, dengan melaksanakan Pelan strategik ini, saya berharap kita mendapat komitmen berterusan daripada pihak pengurusan untuk terus menuju ke satu arah lebih jelas. Selain itu, kita juga perlu memastikan sumber kewangan mencukupi bagi memastikan PTPTN dapat bergerak dengan lestari. Saya berpendapat penting juga untuk kita memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) PTPTN disemak dari masa ke masa selain memperkasakan kutipan balik dan skim simpanan bagi tujuan pendidikan. Kita turut memastikan PTPTN mempunyai infrastruktur mantap. Ini termasuklah menyediakan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan teknologi terkini serta perolehan data dan maklumat berintegriti.

Rancangan strategik bukan hanya memfokuskan kepada pinjaman pendidikan sahaja, tetapi lebih kepada produk simpanan SSPN. Salah satunya ialah dengan menjadikan SSPN sebagai produk utama simpanan pendidikan di Malaysia. Boleh jelaskan lebih lanjut mengenai inisiatif tersebut?

PTPTN turut diberi tanggungjawab untuk menyediakan dan menguruskan skim simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi iaitu SSPN patuh syariah berkonsepkan ‘Wakalah Bil Istithmar’. Skim ini bermatlamat untuk membantu ibu bapa membuat perancangan awal anak-anak mereka dalam aspek kewangan demi masa pendidikan tinggi pada masa hadapan.

PTPTN sentiasa menggembleng pelbagai usaha dalam memastikan instrumen simpanan pendidikan ini sentiasa menjadi pilihan rakyat Malaysia dengan melihat tahun demi tahun, prestasi penabungan SSPN menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan.

Bagaimanapun, di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi terutama ketika penularan Covid-19, produk simpanan terus menjadi pilihan utama ibu bapa sebagai tabung pendidikan anak-anak sejak diperkenalkan sehingga 31 Mei 2021, PTPTN telah mencatatkan terimaan deposit SSPN yang sangat memberangsangkan iaitu berjaya meraih RM8.99 bilion dan sebanyak 4.98 juta akaun direkodkan.

Oleh yang demikian, pelan tindakan yang telah dirangka akan memastikan teras strategik pertama ini menjadi produk simpanan pendidikan utama di Malaysia.

‘Peluang Kejayaan Anda’ merupakan moto baharu PTPTN. Apakah tujuan utama ia diperkenalkan?

Sebagai tabung pendidikan tinggi yang bukan sekadar menyediakan dan mengutip pinjaman tetapi memberi peluang kejayaan dan impian kepada anak-anak untuk berjaya dalam kehidupan, maka moto baharu PTPTN iaitu ‘Peluang Kejayaan Anda’ diperkenalkan. Ia adalah sebagai luahan rasa PTPTN iaitu kami sangat berbangga kerana dapat menyediakan peluang terbaik untuk membina masa depan cemerlang khususnya kepada generasi muda.

 

5 TERAS PELAN STRATEGIK PTPTN 2021-2021

i. Menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia.

ii. Memperkasakan pengurusan pinjaman pendidikan ke arah menjadi pengurus pinjaman pendidikan yang utama dan unggul.

iii. Menambah baik pengurusan kutipan bayaran balik pinjaman dengan lebih efektif.

iv. Melaksanakan strategi pendanaan dan pelaburan yang mendatangkan pulangan yang optimum.

v. Memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *