KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.
Perdana Menteri berkata, untuk tujuan itu satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan berkenaan.
“Saya berharap, dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan,” katanya dalam Ucapan Khas yang disiarkan secara langsung hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, keenam rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dulu dengan semua Ahli Parlimen.
Katanya, suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Sementara itu, beliau memaklumkan sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.
Katanya, jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang secara lebih berkesan menerusi pembabitan mereka dalam jawatankuasa itu.
“Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen kerajaan, manakala 50 peratus lagi Ahli Parlimen pembangkang.
“Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya.