PUTRAJAYA, 17 Ogos — Tan Sri Muyhiddin Yassin yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri semalam tidak bercadang berundur daripada politik dan bertekad untuk terus memimpin Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Muhyiddin yang kini menjadi Perdana Menteri sementara berkata, beliau mempunyai banyak masa selepas ini untuk memberi segala tumpuan kepada perjuangan parti bersama rakan dalam PN.
Malah, Pengerusi PN itu berkata, persiapan untuk menghadapi PRU akan datang sudah lama bermula.
“Kita akan terus menggerakkan jentera dan susun strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
“Saya percaya rakyat sudah melihat pencapaian kerajaan PN sejak setahun lebih kita perintah. Tanpa manifesto pun mereka akan selesa dengan PN.
“Apabila tiba PRU nanti kita serah kepada rakyat untuk menentukannya. Yang pasti saya ada banyak masa sekarang dan banyak pengalaman mengetuai jentera pilihan raya semasa dalam Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Muhyiddin menyifatkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri adalah penamatan satu episod dalam politiknya dan permulaan kepada episod baharu.
Beliau berkata, keyakinannya terhadap PN menghadapi PRU akan datang adalah berdasarkan pendirian dan semangat pemimpin serta akar umbi dalam parti yang mahu beliau meneruskan usaha ini.
“Bila dengar saya nak berhenti tempoh hari, semua pemimpin parti memberi semangat dan bertekad untuk terus berjuang bersama saya dalam apa juga keadaan. Mereka sedia berenang atau tenggelam sama-sama.
“Dengan pendirian ini dan semangat perjuangan ditunjukkan pemimpin PN, saya percaya kita ada kekuatan,” katanya.
Beliau menyifatkan berdasarkan jumlah parti komponen dalam PN selain sokongan MCA, MIC dan sebahagian UMNO, PN akan mengembalikan zaman kegemilangan BN dulu sebagai parti yang berjuang untuk semua bangsa.
Muhyiddin juga menolak tanggapan PN adalah parti untuk orang Melayu dan Bumiputera saja, sebaliknya berkhidmat untuk semua rakyat tanpa mengira kaum.
“(Mesyuarat) Kabinet kerajaan PN tidak pernah sekali pun berbincang isu kaum… orang Melayu saja… orang Cina saja… atau orang India saja. Kita bantu semua kaum,” katanya.