Biarlah rekod, ‘outcome’ kerja BERSATU menceritakan kepada rakyat

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — “Biarlah rekod dan ‘outcome’ kerja BERSATU menceritakan kepada rakyat.”

Itu reaksi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Razali Idris ketika mengulas mengenai laporan Malaysiakini bertajuk ‘BERSATU tiada masa depan dalam PRU-15’ yang menyentuh mengenai analisis survival parti itu.

Razali berkata sebelum ini, ada di antara penganalisis meramalkan UMNO-BN akan hilang dari radar rakyat selepas tumbang pada PRU-14 lalu.

Malah, katanya, pernah diramalkan juga PKR akan terus lenyap dalam peta politik dan MIC atau MCA akan terpisah dengan BN.

“Tidak dinafikan ada juga parti-parti politik lain yang telah tamat atau penghujung jalan, tidak mengapa kerana itu adalah rencam perjuangan dalam politik.

“Cuma yang hendak dikhabarkan ialah BERSATU tidak pernah dominan pun, tetapi kerana waktu dan masa serta kejadian politik yang berlaku, percaturan dan kemampuan menguruskan hal ehwal politik itu telah membawa kepada keupayaan BERSATU menubuhkan kerajaan PH dan PN selepas memenangi kerusi-kerusi sewaktu PRU-14 lalu.

“Malahan pada ketika itu, jawatan Perdana Menteri ke-7 dan Perdana Menteri ke-8 datangnya dari parti BERSATU dan ada negeri-negeri yang diterajui parti BERSATU,” katanya kepada Wacana.my.

Dalam laporan tersebut, penganalisis menjangkakan hubungan UMNO dan BERSATU tetap akan putus menjelang PRU-15 bagi mengelakkan pertembungan kerusi antara dua parti itu.

Turut diramal, BERSATU lebih mendapat tempias buruk daripada persepsi bahawa PN telah gagal mentadbir negara, berbanding UMNO.

Menepis dakwaan itu, Razali menambah dulu tiada sesiapapun meletakkan harapan kepada BERSATU, selain diperlekeh dan dicerca.

Namun, katanya, parti itu tetap bersemangat dan meneruskan kerja untuk rakyat sejak awal penubuhan lagi, selaras dengan moto Bersatu, Beramanah dan Bermaruah.

“Dalam hal PRU-15, kekuatan BERSATU ialah rakyat. Manifesto BERSATU ialah gerak-kerja yang dilaksanakan sepanjang menjadi kerajaan PN termasuk pakej bantuan ekonomi, kelengkapan kesihatan awam serta pelan pemulihan negara.

“Rakyat menerima dan merasai bantuan-bantuan kerajaan PN yang lalu dan menerusi manifestasi ini, ia adalah tonggak kepada kekuatan dan masa depan BERSATU, terutama dalam PRU-15.

“Jauh sekali untuk riak, takbur atau sombong tetapi percaturan Allah SWT itu ada hikmah yang hendak ditunjukkannya.

“Kita akan terus berusaha untuk BERSATU dan kerajaan PN. Usaha dan ikhtiar dalam kesepakatan politik. Menyantuni rakyat itu adalah manifestasi untuk berkhidmat kepada rakyat. Itulah masa depan BERSATU,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *