KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Armada Nasional menyambut baik tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendengar suara dan idea anak muda dalam bersama-sama kerajaan untuk membangun dan memulihkan semula ekonomi negara.
Naib Ketua Armada Nasional Mandela Malakun berkata hal ini dilihat sebagai suatu pendekatan yang baik dalam memulakan tugas mengemudi keluarga besar Malaysia seiring gagasan yang ingin dibawa oleh Ismail Sabri.
“Dalam mencapai solusi jangka pendek dan panjang seperti mana disebut dalam ucapan pertama Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, Armada menyeru supaya lebih banyak anak muda yang berkaliber untuk dibawa masuk memegang portfolio penting dalam kementerian atau GLC agar terlibat secara langsung dalam proses menggubal polisi serta dasar baru kerajaan.
“Ini adalah langkah yang amat penting dalam mengenengahkan idea-idea segar dari anak muda secara langsung dan bukan sekadar pelengkap proses.
“Sejak sekian lama ungkapan ‘kami mendengar suara anak muda’ ini dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin sebelum ini malangnya ia hanya sekadar retorik dan penambah perisa dalam apa jua ucapan atau kempen bagi meraih sokongan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, terdapat banyak industri dan teknologi baru yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan yang lebih besar antaranya seperti teknologi ‘Artificial Intelligence’ dan ‘Blockchain’ yang kini menjadi tumpuan kebanyakan negara-maju dan kebanyakannya dipelopori oleh golongan muda.
Selain itu, katanya, kerajaan juga boleh menyediakan polisi yang memberi kemudahan kepada pengusaha-pengusaha ekonomi GIG.
“Masalah utama pengusaha dalam bidang ini adalah mereka perlu ada kemahiran dan pengalaman yang cukup untuk bergerak.
“Justeru amat penting untuk pihak kerajaan melalui agensi dan kementerian yang bertanggungjawab untuk memberi latihan dan pendedahan yang mencukupi kepada anak muda khususnya untuk bersaing di dalam sektor ini seterusnya mencipta peluang yang lebih tinggi untuk berjaya,” katanya.