KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menaruh keyakinan hubungan baik antara Malaysia dan Singapura yang sedia terjalin akan terus dipertingkatkan bawah kepemimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Pagoh berkata, perkara itu dimaklumkan ketika panggilan telefon antaranya dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, hari ini.
Katanya, ketika perbualan berkenaan, Hsien Loong turut memberi jaminan langkah memperkasakan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai aspek akan terus diperkasakan.
“Hari ini, saya menerima panggilan telefon daripada Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura, antara lain bagi bertanya khabar dan mengetahui perkembangan saya selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
“Lee Hsien Loong turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas hubungan serta kerjasama baik yang kami sama-sama jalinkan sepanjang lebih setahun bergelar rakan sejawat dan berdoa saya dapat terus memainkan peranan dalam aspek hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Muhyiddin berkata, secara peribadi, beliau amat menghargai nilai persahabatan yang ditunjukkan Hsien Loong, bukan sahaja kebelakangan ini, bahkan sejak sekian lama.
“Masih segar di ingatan saya, pertemuan bersemuka dan bersejarah kami di tengah Tambak Johor pada Julai tahun lalu, iaitu sejurus saya menjawat jawatan Perdana Menteri.
“Beliau sendiri baru saja mengangkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai Perdana Menteri. Saya doakan beliau diberikan kesihatan dan dipermudahkan urusan mentadbir Singapura,” katanya.