KOTA BHARU, 31 Ogos — Tindakan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob mengekalkan 95 peratus muka lama dalam barisan kabinet yang baharu mengangkat sumpah pada Isnin memperlihatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah teraju Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini tidak gagal melawan pandemik Covid-19.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, walaupun dilabel sebagai kabinet kitar semula, namun secara dasarnya individu yang diberikan semula mandat untuk berada dalam saf kepimpinan membuktikan mereka telah berjaya sebelum ini bagi memulihkan semula negara.
“Kalau dulu disebut sebagai kerajaan gagal bagi saya tidak betul.
“Hal ini kerana yang ada ketika ini adalah kesinambungan daripada Kerajaan PN terdahulu,” katanya ketika mengagihkan Jalur Gemilang sempena sambutan kemerdekaan ke-64 di sekitar Berek 12, pada Selasa.
Menurutnya, paling penting kabinet sekarang mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perkenan itu jelasnya memperlihatkan kepercayaan Yang di-Pertuan Agong kepada pembentukan kabinet sebagaimana yang telah dicadangkan oleh Perdana Menteri.
Mohamed Farid yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu berkata, tindakan pembangkang mempertikaikan pembentukan kabinet itu memperlihatkan mereka sudah bankrap isu dalam menarik perhatian rakyat untuk menghentam kerajaan.
“Apa yang kabinet ini perlu adalah bergerak secara pantas untuk menjayakan pelan pemulihan negara yang merangkumi aspek kesihatan dan ekonomi selepas negara berdepan pandemik Covid-19.
“Saya yakin dan percaya, jika sokongan berterusan diberikan tidak mustahil pelan pemulihan negara dapat disempurnakan dengan jayanya,” katanya.