‘Wajar lantik Pengerusi MPN di peringkat negeri’

KOTA TINGGI, 5 Sept — Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) di peringkat negeri wajar dilantik dalam usaha memerangi COVID-19 dengan lebih berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, ini kerana kes di setiap negeri berbeza daripada segi jumlah, keadaan dan keperluan dalam mengatasi pandemik tersebut.

“Sekiranya dilantik, Pengerusi MPN di peringkat negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Exco kesihatan dalam merangka pelan bersesuaian mengikut negeri.

“Menerusi penubuhan MPN di peringkat negeri, saya yakin akan dapat kenal pasti keperluan dan langkah yang perlu diambil. Keadaan di setiap negeri berbeza, contohnya Johor dan Selangor mempunyai banyak kilang dan kawasan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan untuk Program Vaksinasi Berkelompok FELDA Sungai Mas dan FELDA Semenchu, di Kediaman Rasmi Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) di Bandar Penawar, hari ini.

Semalam bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.

Kabinet dalam mesyuarat pada 1 September lalu bersetuju untuk melantik Muhyiddin memegang jawatan pengerusi majlis tersebut dan perkara itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

Berkenaan pelantikan tersebut, Che Zakaria yang juga Pengerusi KEJORA mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin dan menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan Ahli Parlimen Pagoh itu sebelum ini.

“Pelantikan ini tepat pada masanya Tan Sri Muhyiddin adalah pemimpin layak untuk mengemudi MPN,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *