Hari ini ini umur BERSATU mencecah 5 tahun. Majlis sambutan rasmi akan diadakan hari Jumaat nanti.
Lima tahun lalu parti ini ditubuhkan dengan semangat kental mahu merobah negara. Bencana rasuah dan kleptokrasi yang begitu teruk mahu dihapuskan.
Sejak itu, pelbagai rintangan telah dilalui.
Bermula dengan kesukaran mendaftarkan parti. Selepas diluluskan, diancam pula untuk digantung pendaftarannya. Mengambil risiko bertanding puluhan kerusi dalam PRU14 tetapi menang hanya belasan. Terpaksa menjaga amanah kuasa dalam keadaan parti-parti seangkatan mempunyai keutamaan yang amat berbeza.
Kemudian mengambil risiko keluar gabungan demi mengembalikan agenda bangsa dan agama. Akibatnya parti berpecah dan hilang tokoh-tokoh awal. Terkini hilang pula kemuncak kuasa.
Semuanya diharungi dengan tabah. Keutamaan paling tinggi kekal sama. Iaitu memperjuangkan tadbir urus yang bersih dan telus, menjaga kebajikan rakyat, dan membina ekonomi terbuka berteraskan sistem pasaran, pastinya sambil meletakkan agenda bangsa dan agama paling atas. Kedaulatan undang-undang, pemisahan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman, sentiasa menjadi agenda yang dipertahan.
Perpaduan politik Melayu Bumiputera terus diusahakan walaupun ramai yang mahu merosakkannya. Perpaduan politik Melayu penting kerana ia adalah penentu kepada kestabilan negara hari ini. Kestabilan itu akan membawa kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Jajaran baru yang mengubah identiti teras negara kita adalah tidak sesuai.
Kejelasan visi dan matlamat, berbekal semangat yang kental, inilah yang menyebabkan parti ini akan terus subur dalam politik negara.
Perlu disebut bahawa agenda perpaduan Melayu bukan mengenai politik perkauman sempit. Tetapi ia adalah untuk membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat yang berbilang bangsa. Malahan keahlian kita sejak awal penubuhan memang terbuka untuk semua.
BERSATU pasti dan mesti terus maju. Ini adalah parti yang dibina atas agenda yang jelas, yang ada perbezaan daripada parti-parti lain. Ia parti Melayu yang dibina oleh pemimpin-pemimpin yang sanggup hilang segalanya demi menegakkan integriti dan tadbir urus yang baik.
Dalam parti ini kita ada ramai penggerak politik lapisan baru yang berbagai kategori umur. Baik yang umurnya “senior” mahupun anak muda, BERSATU menawarkan satu lapisan baru yang tidak ada “baggage” politik.
Lapisan baru ini tidak semestinya muda. Yang berumur “senior” pun masih saya gelar lapisan baru jika sejarah politik mereka masih hijau dan segar. Yang penting, mereka tiada “political baggage”.
Yang membawa huru hara kepada negara semuanya lapisan lama yang ada kepentingan. Lapisan baru bukan penyebab masalah, malahan mereka senak melihat ahli politik bermasalah yang sengaja menimbulkan lebih banyak masalah.
Tetapi untuk bergerak ke hadapan, BERSATU mesti lebih berani dari pelbagai sudut.
Mesti berani buka ruang untuk lapisan baru.
Mesti berani perbanyak perbahasan mengenai dasar pentadbiran negara agar parti yang menentukan agenda pentadbiran.
Mesti berani beri kepercayaan kepada lebih ramai muka baru dan jangan benarkan budaya hanya percaya “orang keliling” menjadi barah.
Mesti berani beri empowerment kepada jentera parti akar umbi. Mereka adalah penggerak sebenar, penentu hidup mati parti.
Mesti berani semaikan budaya pentadbiran profesional yang lengkap dengan performance appraisal secara berkala agar pentadbiran parti tidak dimandulkan oleh politik dalaman.
Mesti berani segerakan kaderisasi generasi pelapis. Biar parti ini penuh dengan persaingan sihat antara tokoh-tokoh yang berpotensi.
Tidak lupa, unsur kerohanian mesti ditanam dalam perjuangan. Parti tidak akan bertahan lama jika yang dikejar hanya dunia.
BERSATU mesti tunjukkan perbezaan dengan parti-parti lain. Unique selling point kita mesti jelas. Niat kita juga mesti diikhlaskan.
Jangan sesekali kita lupa bahawa BERSATU ditubuhkan oleh pemimpin yang sanggup dipecat demi melawan kleptokrat. Pemimpin kita diperangi kerana melawan kleptokrat. Kita juga terbukti tidak berkompromi dengan tekanan kleptokrat. Kita ini parti yang telah terbukti istiqamah dan tidak gentar bercakap yang benar walau apa pun risiko.
Anak muda, golongan profesional, dan rakyat semua peringkat yang mahu menaikkan pemimpin yang bersih, inilah wadah yang perlu disertai. Kita lah yang boleh menaikkan lapisan baru dengan agenda yang tulus, baik untuk negara mahupun untuk parti.
Saya yakin, jika kita membulatkan tekad, memberanikan diri, dan memperjelas tawaran kita kepada rakyat, bukan sahaja kita boleh berbangga kerana telah mencapai usia 5 tahun pada hari ini, malahan kita boleh yakin akan terus memimpin di tahun-tahun akan datang.
Selamat hari ulang tahun ke-5!!
DATUK WAN SAIFUL WAN JAN
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia