KUALA LUMPUR, 10 Sept — Tempoh setengah dekad perjuangan BERSATU dalam arena politik tanah air dengan membawa agenda untuk memperkasakan kehidupan rakyat dan negara bukanlah titik noktah perjuangan parti itu.
Sebaliknya Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli menegaskan BERSATU akan terus komited untuk memperjuangkan nasib rakyat dan memainkan peranan penting dalam usaha mengembalikan reputasi negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Apa yang diharapkan, pemimpin BERSATU akan terus komited mengetuai wawasan kerajaan untuk memastikan kemajuan negara bagi menjamin masa depan generasi kecil dan akan datang.
“BERSATU juga akan menjadi parti yang penting di dalam politik tanah air bagi kestabilan dan arah tuju negara, dan pemimpin BERSATU akan memainkan peranan yang signifikan di dalam mengembalikan reputasi negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita telah bersama selama lima tahun, jadi ayuh terus mengorak langkah demi tanah air dan anak-anak yang kita cintai,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
BERSATU akan menyambut ulang tahun kelima pendaftaran parti itu secara dalam talian melalui laman rasmi Facebook Parti Pribumi BERSATU Malaysia bermula jam 9 malam pada Jumaat.
Menceritakan mengenai penglibatannya dalam arena politik bersama BERSATU, Razrul berkata foktor terbesar yang membawa beliau ke bidang politik adalah keinginan untuk berjuang bersama bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohammad.
“BERSATU adalah parti politik pertama saya dan faktor terbesar saya bersama BERSATU adalah kerana ingin berjuang bersama dengan idola saya sejak kecil iaitu negarawan, Tun Dr Mahathir Mohammad.
“Kebetulan, Bahagian BERSATU yang pertama ditubuhkan di Malaysia adalah di Johor Bahru yang diumumkan sendiri oleh Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Selamat ulang tahun yang kelima BERSATU, dan diharapkan segala cita-cita dan usaha sepanjang tempoh lima tahun dan usaha ini membuahkan hasil,” katanya.