KUALA LUMPUR, 20 Sept — Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) bagi membantu pendaftaran murid sekolah bagi tujuan vaksinasi COVID-19.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya juga mengenal pasti sekolah di seluruh negara untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada murid sekolah.
“KPM turut membantu dalam menyediakan petugas dan keperluan logistik untuk tujuan ini.
“Kerjasama strategik KPM dan KKM ini pastinya dapat mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Radzi pagi tadi, menghadiri pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) di sini, dan turut melihat sendiri pelaksanaan program berkenaan.
Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.