KUALA LUMPUR, 21 Sept — Pengumuman rasmi China untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan memberikan impak pengaruh ekonomi yang kuat kepada perjanjian perdagangan tersebut.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia sebagai salah satu rakan dagangan terbesar China memandang dasar dan agenda pembangunan negara tersebut penting dan akan memberi impak kepada Malaysia dan rakan serantau yang lain.
“Kita menjangkakan China akan mengadakan “Accession negotiations”(rundingan akses) bersama negara Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada awal tahun depan bagi tujuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan pertanyaan lisan (PDP-Bintulu) Datuk Seri Tiong King Sing di Dewan Rakyat hari ini yang bertanyakan mengenai impak penyertaan China dalam CPTPP kepada ekonomi Malaysia.
Azmin menjelaskan, Malaysia telahpun mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersama China melalui ASEAN-China FTA.
“Namun di bawah CPTPP, China perlu menawarkan akses pasaran tanpa sebarang pengecualian awal di mana China perlu membuat tawaran akses pasaran yang lebih menyeluruh, berkualiti tinggi serta menepati piawaian perjanjian CPTPP.
“Oleh yang demikian akses pasaran yang bakal kita nikmati dengan penglibatan China dalam CPTPP kelak dijangka lebih luas dan komprehensif dan menguntungkan Malaysia berbanding ASEAN China FTA,” katanya.
Mengambil contoh peraturan tempasal, Azmin berkata, setiap produk yang diiktiraf sebagai berasal dari Malaysia atau anggota CPTPP akan mendapat layanan duti berkeutamaan.
“Dengan kemasukan China dalam CPTPP ia akan membolehkan pengilang dan pengeluar dari Malaysia untuk menggunakan bahan mentah dari China bagi pengeluaran produk akhir yang turut diambil kira untuk melayakkan produk berkenaan mendapat duti berkeutamaan,” tambahnya.