KUALA LUMPUR, 21 Sept — Majlis Pemulihan Negara (MPN) diberi autoriti yang luas dalam membuat keputusan berkaitan pemulihan negara daripada pandemik Covid-19, kecuali berkaitan kewangan.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi memastikan MPN tidak perlu mengambil masa yang lama untuk mencapai sebarang keputusan berbanding melalui pelbagai peringkat tapisan.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tentang apakah bidang autoriti MPN, dan katanya kalau ada keputusan daripada MPN, kita kena melaksanakan terus kecuali berkaitan kewangan.
“Kalau dulu saya jadi Perdana Menteri, keputusan saya buat segera. Sekarang ini walaupun saya tidak lagi, tetapi autoriti yang diberikan Perdana Menteri untuk saya membuat keputusan hampir serupa.
“Sekarang ini, bagi saya perancangan yang penting. Antara bidang yang dilakukan MPN adalah mengukuhkan sistem kesihatan awam, ekonomi seperti pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana, segerakan proses pendigitalan dan mencari jalan untuk mengukuhkan logistik,” katanya menerusi program Agenda Awani pada malam Selasa.
Menurut Muhyiddin, pelantikannya sebagai Pengerusi MPN adalah satu penghormatan dan memberi sedikit ruang terhadap usaha awal Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diperkenalkan oleh beliau sebelum ini.
“Ini satu tanggungjawab dan amanah yang saya pikul untuk membantu negara kembali ke situasi normal.
“Ini memerlukan satu tindakan yang wajar melihat dari segi cukup luas daripada pemulihan iaitu melibatkan semua sektor iaitu ekonomi, sosial, kebudayaan dan sebagainya.