KUALA LUMPUR, 22 Sept — Sebanyak 228 kes meliputi produk berkaitan makanan dikesan melanggar status halal dengan nilai rampasan sebanyak RM11.616040 juta setakat Ogos tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, rampasan tersebut adalah hasil pemeriksaan terhadap produk-produk yang tidak mematuhi status halal.
“Kita melakukan pemeriksaan terhadap logo halal dan produk halal itu sendiri. Sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jadi kita hanya menguatkuasakan penggunaan dan penandaan logo halal.
“Pemeriksaan turut dilakukan secara berkala bersama Jakim, malah pemeriksaan turut dibuat di tempat-tempat penyembelihan, kilang memproses dan premis makanan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-UMNO) berhubung langkah-langkah mengatasi serta jumlah kes pelanggaran status makanan serta produk halal sama ada import daripada luar negara atau keluaran dalam negara.