KUALA LUMPUR, 26 Sept — Armada BERSATU dan Pemuda Gerakan akan memastikan golongan anak muda tanpa mengira bangsa tidak disisihkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) pasca COVID-19.
Ketua Armada BERSATU Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pihaknya telah mengadakan satu perbincangan bersama Pemuda GERAKAN untuk membincangkan inisiatif-inisiatif yang sesuai untuk dilaksanakan dan dicadangkan kepada pihak kerajaan.
“Isu-isu berbangkit seperti penyelenggaraan rumah-rumah ibadat juga ada dibangkitkan oleh sahabat-sahabat Pemuda GERAKAN dan InsyaAllah saya akan turun sendiri melihat dan cuba menyelesaikan permasalahan ini dalam kadar segera,” katanya.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal mengadakan lawatan kepada kepimpinan Pemuda GERAKAN di Ibu Pejabat GERAKAN di Menara PGRM, Cheras.
“Kedatangan kami di sambut sendiri oleh Ketua Pemuda GERAKAN Malaysia, Saudara Wong Chia Zhen yang juga salah seorang Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional bersama-sama saya berjuang di bawah payung Perikatan Nasional (PN).
“Lawatan ini merupakan lawatan susulan memandangkan amalan kami di peringkat Pemuda Perikatan Nasional melawat sahabat-sahabat antara parti komponen di Ibu Pejabat Parti masing-masing,” katanya.