KUALA LUMPUR, 27 Sept — Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dianggap sebagai satu hala tuju strategik untuk negara keluar dari krisis kesihatan dan ekonomi.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Razali Idris yakin sembilan fokus utama yang digariskan dalam RMK12 berupaya memulihkan ekonomi negara sehingga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kembali berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku ketiga atau keempat tahun ini.
“Pembentangan Rancangan Malaysia RMK12 dianggap induk utama kepada Malaysia untuk bangkit dan melonjakkan semula ekonomi dari kemelut pandemik COVID-19.
“Dalam hal ini, penggerak utama dalam mencetuskan kepelbagaian idea, syor, inovasi dan penyelesaian sebenarnya diterjemahkan awal oleh mantan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu kerajaan Perikatan Nasional (PN) lalu bagi pembentangan RMK12.
“Justeru, pelan RMK12 bagi tempoh lima tahun ini adalah hala tuju strategik bagi jalan keluar dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebenarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Razali berkata, amat penting bagi rakyat untuk menikmati dan memanfaatkan semula kemakmuran, inklusif dan mampan di bawah konsep Keluarga Malaysia.
Menurut beliau, dalam hal itu kerajaan perlu berani berbelanja demi rakyat bagi melahirkan harapan berganda untuk keluar dari krisis kesihatan dan ekonomi.
“Perkembangan ekonomi perlu seiring dengan keperluan teknologi semasa. Jurang digital antara bandar dan luar bandar dengan menaikkan taraf seperti Pusat Internet Desa serta Pusat Komuniti Desa sebagai langkah yang sangat wajar,” ujarnya.