KUALA LUMPUR, 28 Sept — Malaysia berada pada kedudukan kedua terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura dalam aspek keselamatan makanan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata dalam kalangan negara Asia Pasifik pula, Malaysia berada pada kedudukan kelapan terbaik.
Katanya, kedudukan Malaysia pada 2020 juga lebih baik berbanding Thailand, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Filipina dan India.
Beliau menjelaskan, perubahan kedudukan Malaysia pada 2019 dalam senarai Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) dari tangga 28 ke 44 adalah kerana pelarasan semula dibuat oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU).
“Pelarasan semula itu memasukkan penilaian sumber semula jadi dan ketahanan bekalan makanan. Sebelum ini EIU hanya menilai tahap kerentanan sesebuah negara terhadap sekuriti makanan berdasarkan tiga dimensi, iaitu kemampuan, ketersediaan dan kualiti dan keselamatan.
“Berdasarkan pelarasan ini, kedudukan Malaysia pada 2019 juga berubah dari tangga ke-28 ke tangga ke-44 dalam kalangan 113 negara seluruh dunia.
“Pelarasan ini bukan sahaja mengubah kedudukan Malaysia pada 2019, malah Singapura juga telah berubah dari tangga pertama ke tangga 20 dan Australia dari tangga ke-12 ke tangga 26,” katanya ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera), Ronald tidak menafikan masih terdapat pelbagai cabaran yang perlu diberi perhatian dalam usaha memperkukuhkan sekuriti makanan negara.
Ia, katanya, termasuk tahap kebergantungan import makanan, peningkatan permintaan, perubahan iklim, kekangan sumber asli, kekurangan tenaga kerja mahir dan pembabitan golongan belia, tahap penerimaan gunaan teknologi yang masih rendah serta amalan pertanian yang kurang lestari.
“Dalam hal ini, kerajaan sentiasa komited dalam terus memperkukuh sekuriti makanan negara supaya kekal terjamin dalam apa jua keadaan sekali gus mempertingkatkan kedudukan Malaysia dalam GFSI pada masa akan datang.
“Antara usaha kerajaan termasuk penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) dan pembangunan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 yang holistik dan mampan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Hon Wai mengenai strategi meningkatkan sekuriti makanan, beliau berkata, dalam keadaan kebimbangan mengenai bekalan makanan, kementerian kini mengubah strategi dengan meningkatkan sehingga 70 peratus pengeluaran padi dan beras negara dan 30 peratus kebergantungan import.
“Melalui projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) kita mahu meningkatkan produktiviti tanaman padi dan pendapatan pesawah dijangka dilaksanakan pada musim kedua tahun ini,” katanya.