KUALA LUMPUR, 2 Okt — Masyarakat berpeluang menikmati pelbagai manfaat tabungan pendidikan menerusi program Bulan Menabung Simpan SSPN 2021 atau BMS 2021 sekali gus menjadikan Simpan SSPN sebagai produk tabungan bagi setiap isi rumah.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata BMS 2021 berlangsung sepanjang Oktober merupakan program ‘signature’ PTPTN yang diadakan sempena sambutan Hari Tabungan Sedunia pada 31 Okt setiap tahun.
“BMS 2021 dengan tema Galaksi pada kali ini, membawa kelainan berbanding tahun sebelum ini dengan pelbagai program dan pertandingan baharu yang menarik untuk disertai ibu bapa dan anak-anak.
“Program disediakan antaranya webinar, Bonding Chef Junior, Sembang Santai BMS 2021, Forum Cakna Kewangan, manakala program berbentuk pertandingan ialah Fotografi Simpan SSPN, Bento Chef Junior Simpan SSPN, Simpan SSPN Got Talent, Colouring Contest Simpan SSPN dan Cabaran #SuperheroSiManja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan BMS 2021 secara maya menerusi Facebook rasmi PTPTN hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata program diadakan secara langsung melalui media sosial rasmi PTPTN itu turut merencana program khas PTPTN Prihatin bagi menyemarakkan BMS 2021 iaitu Jelajah Simpan SSPN 2021 yang merupakan program tanggungjawab sosial korporat melalui sumbangan zakat PTPTN berjumlah lebih RM500,000 dengan kerjasama pusat zakat negeri dan agensi kerajaan.
“Lebih 5,000 asnaf akan menerima sumbangan tunai berbentuk akaun Simpan SSPN Prime yang bertujuan memastikan golongan itu turut menikmati manfaat penabungan melalui Simpan SSPN ini dan memastikan masa depan pendidikan mereka lebih terjamin.
“Selain itu, PTPTN turut memperkenal Tabung Impian sebagai satu tarikan terutamanya bakal pendeposit baharu untuk memulakan simpanan manakala pendeposit sedia ada untuk terus komited menabung dengan tujuh karakter seperti angkasawan, bomba, jurutera, doktor, tentera, hakim dan juruterbang,” katanya.
Wan Saiful berkata BMS dirangka dan dilaksanakan PTPTN sejak 2018 sebagai program promosi dalam usaha menjadikan produk Simpan SSPN sebagai pilihan utama masyarakat untuk membuat penabungan di samping menikmati keistimewaan yang disediakan.
“Produk Simpan SSPN terdiri daripada Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus. Simpan SSPN Prime merupakan instrumen simpanan tanpa komitmen bulanan yang memberi keistimewaan seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, perlindungan takaful secara percuma, dividen kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 dan simpanan dijamin kerajaan.
“Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej menarik dan mampu dimiliki dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat lebih menarik akan dinikmati pendeposit antaranya perlindungan manfaat takaful sehingga RM1.2 juta dan perlindungan sehingga umur pendeposit 69 tahun selain menawarkan pelbagai manfaat sedia ada,” katanya.
Mengenai Hari Tabungan Sedunia, Wan Saiful berkata objektif utamanya adalah bagi menyemai semangat menabung masyarakat di seluruh dunia walaupun pandemik COVID-19 sedang melanda, kerana ia bukan alasan untuk tidak menyemai semangat menabung.
“Malah, sewajarnya kita menggunakan perkhidmatan dan kemudahan melalui platform digital selaras dengan pelbagai inisiatif pendigitalan yang semakin mendapat perhatian semasa pandemik ini untuk merangka pelbagai inisiatif penabungan.
“PTPTN juga menyediakan kemudahan transaksi secara dalam talian termasuk pembukaan akaun Simpan SSPN dan penambahan deposit tanpa perlu hadir ke kaunter sebagai usaha menggalakkan penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
“Pembukaan atau penambahan simpanan secara dalam talian adalah lebih cepat, mudah dan selamat dengan melayari www.lovesspn.com,” katanya.