KUALA LUMPUR, 5 Okt — BERSATU akan membincangkan situasi politik di Melaka susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata perbincangan itu akan diadakan segera dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh parti.
“Saya mengambil maklum mengenai laporan berita berkaitan Kerajaan Negeri Melaka. Pimpinan tertinggi BERSATU akan membincangkan perkembangan ini dengan segera dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh parti,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Semalam, Empat ADUN kerajaan Melaka mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Sulaiman.
Mereka adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Kerajaan Melaka yang diterajui Barisan Nasional (BN) dibentuk pada Mac tahun lalu selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang berikutan empat ADUN ketika itu memberikan sokongan kepada gabungan Perikatan Nasional (PN).