PASIR PUTEH, 5 Okt — Isu Naib Ketua BERSATU Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim yang dikatakan menulis status perkauman di Facebook tidak perlu dipanjangkan kerana beliau sudah meminta maaf.
Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kelantan Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, pengakuan keterlanjuran secara terbuka dibuat Borhanuddin sepatutnya menjadi pengakhiran kepada episod tersebut dan tidak perlu lagi menjadi perdebatan mana-mana pihak.
“Apa lagi Borhanuddin sudah memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung kekhilafan yang dilakukan. Tidak perlu lagi dipanjangkan.
“Bahkan, dia turut menawarkan diri untuk meletak jawatannya dalam parti. Warganet dan semua pihak seharusnya menerima permohonan maaf itu,” katanya.
Terdahulu, tular dalam media sosial status kontroversi pemilik akaun Facebook, Borhan Che Rahim terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara, S. Kisona yang dikatakan berbentuk perkauman.
Status menghina Kisona selepas beliau tewas kepada pemain Jepun dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman yang berlangsung di Finland, kelmarin mengundang kemarahan pelbagai pihak sehingga laporan polis dibuat.
Susulan itu, Borhanuddin membuat permohonan maaf secara bertulis dan mengakui keterlanjurannya selain menawarkan diri untuk meletak jawatan dipegang ketika ini bagi menjaga nama baik parti.
Ditanya kedudukan sebenar Borhanuddin dalam parti setakat ini, Kamarudin berkata, perkara itu telah dibawa ke atas untuk perhatian Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut berhubung kedudukannya dalam parti sementara menunggu keputusan rasmi MPT,” ujarnya.