AYER KEROH, 5 Okt — Perikatan Nasional (PN) Melaka mengajak UMNO berunding bagi mengelakkan pertembungan kerusi yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata perundingan di antara BERSATU, UMNO dan PAS penting bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru atau empat penjuru ketika berhadapan dengan calon Pakatan Harapan (PH).
Katanya, hanya selepas UMNO menyatakan pendirian sama ada bersedia membuka pintu perundingan atau sebaliknya, PN akan membuat ketetapan jumlah kerusi yang akan ditandingi.
“Yang pasti ialah BERSATU tidak akan bertembung dengan PAS kerana kami sudah bersepakat untuk mengelak pertembungan sesama sendiri,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga Naib Pengerusi PN Melaka Datuk Kamarudin Sidek.