Penduduk harap sistem amaran bencana Gunung Jerai dipasang cepat

YAN, 7 Okt — Penduduk harap sistem amaran bencana dipasang secepat mungkin di sekitar Gunung Jerai supaya mereka mendapat amaran awal untuk bersiap sedia menghadapi bencana seperti fenomena kepala air pada Ogos lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, penduduk mula bimbang jika berlaku hujan lebat kerana air cepat memenuhi sungai-sungai yang mengalir dari Gunung Jerai.

Menurutnya, kepentingan pemasangan sistem amaran awal itu turut dibangkitkan beberapa kali dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada penghujung September lalu.

“Adakah tragedi kepala air akan berlaku lagi. Jika berlaku, kita tidak ada apa-apa maklumat amaran awal. Banyak negara luar seperti Jepun sudah ada amaran awal seperti ribut dan sebagainya.

“Selepas dipasang sistem amaran bencana di Gunung Jerai, orang yang menyelianya akan tahu dan memaklumkan kepada penduduk setempat terutaman kepada mereka yang tinggal di kaki gunung dan berhampiran sungai untuk bersedia,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Masjid Jamek Badlishah, dekat sini pada Khamis.

Sebelum itu beliau menyerahkan Sumbangan Wang Ihsan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara Mangsa Kejadian Aliran Puing Daerah Yan Fasa Pertama kepada 93 orang mangsa banjir.

Ku Abdul Rahman yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Pengajian Tinggi Kedah berkata, beliau difahamkan sistem tersebut akan dipasang dalam masa terdekat dan berharap urusan tersebut berjalan lancar.

Pada Rabu, media melaporkan kerajaan kini sedang mengkaji bagi melaksanakan sistem amaran awal bagi memberi makluman awal kepada penduduk agar dapat bersiap sedia menghadapi bencana banjir.

Menurut Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman, pada peringkat permulaan, pihaknya merancang memasang di Gunung Jerai, Kedah susulan bencana kepala air yang berlaku Ogos lalu sehingga mengorbankan enam nyawa.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *