Lebih 500 doktor kontrak lanjut pengajian ke peringkat pakar

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Seramai 504 pegawai perubatan berstatus kontrak dibenarkan melanjutkan pengajian ke peringkat pakar ketika ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 3,615 pegawai perubatan berdaftar yang mengikuti Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway.

“Pengambilan pada 2016 yang berjumlah 239 orang meningkat kepada 1,190 orang pada 2018. Tahun ini pengambilan adalah seramai 692 orang.

“Sebanyak 14 bidang ditawarkan, dengan kemasukan kepakaran perubatan dalaman seramai antara 90 hingga 513 orang setahun dan kepakaran pembedahan plastik paling kurang dengan hanya dua hingga empat orang pengambilan setiap tahun,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Tambah Noor Azmi, bagi program kepakaran sarjana perubatan yang ditawarkan kepada pegawai berstatus tetap dari tempoh 2015 hingga 2021 adalah 7,357 orang.

“Pada 2015, pengambilan adalah 956 orang dan ia meningkat setiap tahun. Sebagai contoh pada 2020 adalah 1,214 manakala tahun ini serama 1,120 orang.

“Sebanyak 23 bidang yang ditawarkan, contohnya bidang anestesiologi sangat diminati dengan kemasukan 100 hingga 120 orang setahun manakala bidang pembedahan plastik adalah paling kurang mendapat sambutan iaitu lima hingga sembilan orang setahun,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui Kementerian Kesihatan masih kekurangan tenaga pakar dan memberi jaminan bahawa pihaknya akan menambah lebih ramai pakar di masa akan datang.

“Sudah tentu negara perlukan lebih banyak pakar, ketika ini kita ada 6,012 pakar di Kementerian Kesihatan. Daripada angka ini, 5,953 adalah pakar berstatus tetap dan hanya 19 pakar berstatus kontrak.

“Kementerian bersikap proaktif, contohnya menambahkan slot hadiah latihan persekutuan untuk pelajar pakar, dengan penambahan 1,300 orang pada tahun ini, menambah slot dari program Parallel Pathway dengan 189 orang pada 2020.

“Kita juga buat lantikan semula kepada pakar yang telah bersara, pujuk mereka datang balik, kita buat penyumberluaran dengan menjemput pakar dari hospital swasta untuk membantu kita juga memberi pakar kontrak peluang untuk menjadi pakar tetap jika ada kekosongan yang wujud dalam perjawatan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan Senator Mohd Apandi Mohamad berhubung statistik bilangan pegawai-pegawai perubatan yang berstatus tetap dan kontrak yang dibenarkan melanjutkan pengajian di peringkat pakar setiap tahun bermula tahun 2015.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *