KUALA LUMPUR, 12 Okt — Setiap hari secara purata sebanyak 121 permohonan cerai pasangan Islam difailkan di mahkamah syariah seluruh negara sejak Mac 2020 hingga Ogos lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia bersamaan dengan lima permohonan penceraian difailkan dalam tempoh sejam.
“Dalam tempoh itu keseluruhannya sebanyak 66,440 permohonan cerai pasangan Islam difailkan.
“Statistik Jabatan Kehakiman Syariah ini bagaimanapun hanya menunjukkan bilangan kes permohonan cerai yang difailkan dan bukan bermaksud semuanya diluluskan serta berakhir dengan perceraian,” katanya ketika sesi pentanyaan menteri bagi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) mengenai sokongan terhadap pasangan selepas bercerai serta perbandingan kenaikan jumlah perceraian di negara ini.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, Selangor mencatatkan daftar permohonan cerai tertinggi dengan 12,479 kes, diikuti Johor (7,558), Kedah (5,985), Kelantan (5,982), Perak (5,921), Terengganu (5,098), Pahang (5,058), Sabah (4,010), Wilayah Persekutuan (3,854), Negeri Sembilan (3,473), Pulau Pinang (2,978), Perlis (1,081) dan Sarawak (561).
Bagi pasangan bukan Islam pula, menurutnya, sebanyak 10,346 kes perceraian difailkan di seluruh Malaysia bagi tempoh sama dengan Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 3,160 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 2,893 kes dan Perak 1,209 kes.
Selain itu katanya, sebanyak 1,197 kes perceraian difailkan di Johor, Negeri Sembilan (861), Melaka (449), Pahang (386), Kedah (76), Kelantan (45), Perlis (41) dan Terengganu (29).
“Bagi perceraian membabitkan pasangan bukan Islam ini puratanya kira-kira 18 kes direkodkan di seluruh negara dalam tempoh sehari.
“(Keseluruhannya ketika kita) sedang bercakap dalam dewan ini, ada orang yang memohon cerai, maksudnya begitulah konteks dan suasananya,” katanya.
Mas Ermieyati menegaskan, situasi merisaukan kerajaan dan ekoran itu banyak sistem sokongan diberikan kerajaan yang bukan sahaja di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).
Jelasnya, banyak kementerian telah melakukan usaha memberikan sokongan mental kepada pasangan berkenaan dan berharap dapat meneruskan kehidupan berkeluarga dan menyelesaikan masalah terutama dalam tempoh pandemik.