KOTA KINABALU, 14 Okt — Kerajaan Sabah membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan fardu dengan bilangan jemaah 50 peratus daripada kapasiti masjid atau surau bermula esok.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata keputusan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkaitan aktiviti masjid dan surau diadakan semalam itu turut menetapkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan satu meter.
“Individu lengkap divaksin adalah diutamakan,” kata Masidi yang juga jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah dalam kenyataan, malam ini.
Masidi berkata aktiviti masjid dan surau seperti kuliah maghrib, kuliah dhuha, kelas agama dan seumpamanya turut dibenarkan mengikut bilangan kapasiti ditetapkan manakala majlis akad nikah pula dibenar diadakan di dewan atau ruang khas masjid.
“Pengurusan jenazah dan ziarah kubur dibenarkan mengikut bilangan tidak lebih 30 orang. Umat Islam juga dinasihatkan agar mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Pihak Berkuasa Negeri dari semasa ke semasa bagi memutuskan penularan wabak COVID-19,” katanya.
Sementara itu, Masidi berkata sebanyak 691 kes baharu direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif 208,197 kes, dengan 15 kematian dilaporkan.
Sebanyak 656 pesakit sembuh dan dibenar keluar dari hospital mahupun Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 195,674 orang, manakala 2,389 pesakit masih menjalani rawatan, katanya.