KUALA LUMPUR, 15 Okt — Negara dijangka mampu memperolehi pendapatan tambahan sekurang-kurangnya RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun sekiranya mengenakan cukai eksais dan cukai import ke atas cecair vape bernikotin.
Ahli BERSATU Senator Muhammad Zahid Md Arip berkata ini kerana ketika ini yang dicukaikan kerajaan adalah cecair vape tidak bernikotin, sedangkan 98 peratus daripada pasaran vape tempatan adalah yang bernikotin.
Ini bermakna, kata Muhammad Zahid, pengumuman Menteri Kewangan tahun lalu sebenarnya tidak mendatangkan pulangan yang sepatutnya seperti yang diharapkan.
“Saya sekali lagi mencadangkan supaya cecair vape bernikotin dikenakan cukai eksais dan cukai import bagi mempelbagaikan hasil cukai kerajaan sama yang dikuatkuasakan di Korea Selatan dan di Filipina.
“Di Korea, cecair vape bernikotin dicukaikan pada kadar RM6.30 per mililiter manakala di Filipina pula pada kadar RM3.50 per mililiter. Indonesia pula memilih sistem cukai secara menurut nilai pada kadar 57 peratus daripada nilai jualan.
“Dalam keadaan negara berdepan dengan krisis ekonomi sekarang ini, kita memerlukan pendekatan dan pendapatan baharu. Jika vape bernikotin ini boleh memberikan pulangan yang besar dan mudah kepada kerajaan, wartakan segera undang-undang ini dan jangan dipersulitkan hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara pada Khamis.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahid berkata sudah sampai masanya kerajaan memperkenalkan undang-undang bagi mengawal selia vape di negara ini.
Katanya, pasaran tempatan dalam industri vape ini sebenarnya cukup besar iaitu berjumlah kira-kira 600 juta mililiter setahun.
“Menerusi undang-undang khusus ini, pihak berwajib akan dapat menguatkuasakan prosedur yang ketat dalam penghasilan cecair vape iaitu antaranya dengan hanya membenarkan kilang yang mempunyai ISO sahaja yang boleh memprosesnya dan bukan bebas seperti sekarang.
“Sekarang ini siapa sahaja boleh memproses cecair vape. Saya diberitahu ada tempat pemprosesan di belakang rumah, di belakang jamban pun ada.
“Langkah memperkenalkan undang-undang ini adalah bagi memastikan keselamatan pengguna kerana berdasarkan kajian terdapat lebih 1 juta pengguna vape di Malaysia ini.
“Jika berlaku apa-apa ke atas pengguna vape, pihak berwajib boleh mengenal pasti kilang mana yang bertanggungjawab dan tindakan tegas secara tersusun lebih mudah diambil,” katanya sambil meminta Menteri Kesihatan dan Menteri Kewangan segera duduk semeja mencari jalan agar vape bernikotin ini dapat segera dikenakan cukai.
“Andai alasan kesihatan dijadikan kekangan, apa bezanya bahaya vape dengan rokok. Rokok juga membahayakan kesihatan tetapi boleh dicukaikan dan ada undang-undang khusus mengenainya.
Jangan dibiarkan ada mana-mana pihak tertentu cuba menjadi ‘little napoleon’ dalam kementerian masing-masing sehingga gagal melihat kepada realiti antara keseimbangan, risiko kesihatan dan kepentingan negara,” ujarnya.