Usaha dan kolaborasi kerajaan, swasta, CSO perlu ditingkatkan untuk basmi kemiskinan

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Pihak kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) kini perlu meningkatkan usaha serta bekerjasama rapat untuk membasmi kemiskinan tegar di Malaysia, selepas kemunculan pandemik COVID-19 terus memburukkan lagi keadaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata selain kerjasama, pelaksanaan yang efektif dan pantas juga adalah penting dalam membanteras masalah ini dan mencapai matlamat yang dihasratkan pada tahun 2025, sebagaimana yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Dalam ucaptama di persidangan International Day for Eradication of Poverty (IDEP) 2021 hari ini beliau berkata, kerangka kerja yang tersusun dan dikoordinasi dengan baik akan memastikan pelaksanaan sumber yang lebih efektif oleh kerajaan, pihak swasta, dan CSO.

Menurutnya ini akan membantu mengurangkan pertindihan dan memastikan bantuan disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Kita perlu bertindak segera untuk menyelesaikan masalah kemiskinan. Untuk memberi kesan yang lebih besar, kita perlu bekerja dengan bijak dan menghimpunkan sumber-sumber kita bersama. Kerjasama adalah kuncinya,” katanya.

Mustapa berkata COVID-19 telah mengakibatkan kadar kemiskinan Malaysia meningkat menjadi 8.4 peratus pada tahun 2020 dan sekitar 20 peratus atau 580,000 isi rumah dalam kelompok M40 telah kembali menjadi kelompok B40.

Persidangan IDEP 2021 dianjurkan oleh Yayasan Sejahtera dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Kumpulan Bank Dunia sempena IDEP yang dihayati secara global pada 17 Oktober setiap tahun.

Persidangan hari ini mengumpulkan 24 penceramah tempatan dan antarabangsa dan lebih daripada 100 peserta yang terdiri daripada pembuat dasar, CSO, organisasi swasta, ahli akademik dan belia.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *