Ada ‘cahaya di hujung terowong’ – Radzi

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Perancangan bersama dan usaha gigih semua pihak untuk membawa negara keluar daripada pandemik COVID-19 mula menunjukkan hasil jelas apabila tiada lagi negeri berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kejayaan negara kini menuju ke fasa endemik dan seterusnya kembali pulih menunjukkan fasa diperkenalkan kerajaan sebelum ini adalah tepat walaupun ada pihak yang pesimis terhadap usaha itu.

“Pagi tadi saya menghadiri Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya masih ingat sewaktu PPN diumumkan oleh Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri, ada yang memandang sinis. Tidak kurang yang mempertikaikan pengenalan fasa dalam PPN dan juga nilai ambang.

“Rakyat kini dapat melihat ‘cahaya yang semakin terang di hujung terowong’. Rentas negeri dibenarkan. Tentunya hujung minggu ini ramai yang balik ke kampung untuk melepaskan rindu kepada ibu bapa dan keluarga tercinta,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Melaka dan Lembah Klang akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa Isnin ini.

Beliau berkata, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah pula akan beralih ke Fasa 3 mulai tarikh sama.

Sebelum ini, Ismail Sabri turut mengumumkan kebenaran merentas negeri bermula 11 Oktober lalu selepas Malaysia mencapai 90 kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa.

Radzi berharap segala perancangan dan kebenaran yang diberikan kerajaan akan berjalan dengan lancar terutama selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 95 peratus ketika ini.

“Sama-sama kita doakan supaya semuanya berjalan dengan baik dan teratur,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *