Pengudaraan semasa sesi persekolahan antara dibincangkan menerusi SLU di Melaka

MELAKA, 16 Okt — Memastikan pengudaraan yang baik sepanjang sesi persekolahan secara bersemuka antara aspek dibincangkan menerusi satu sesi libat urus (SLU) pengoperasian sekolah di negeri ini yang diadakan hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menerusi Facebook rasmi beliau berkata SLU yang diadakan dalam empat sesi itu melibatkan guru sekolah rendah, menengah serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah dan menengah di seluruh Melaka.

“SLU ini menjurus kepada penjelasan dan perkongsian pandangan mengenai operasi sekolah terutama dalam aspek keselamatan dan kesihatan semasa di kelas, waktu ketibaan dan juga penyuraian selepas tamat waktu persekolahan.

“Antara aspek yang ditekankan adalah untuk memastikan pengudaraan yang baik sepanjang sesi persekolahan secara bersemuka. Ini amat penting bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, khususnya varian Delta,” katanya.

Pada SLU itu, Radzi berkata beliau turut berkongsikan cadangan pendekatan yang akan dilaksanakan melalui Konsep #sekolahKuSEJAHTERA untuk memupuk dan membudayakan amalan dan nilai murni dalam usaha mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, kondusif serta membangunkan potensi murid dari peringkat awal.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada guru dan ibu bapa yang terlibat dalam SLU berkenaan yang berlangsung dari pagi hingga petang tadi.

“Saya amat hargai segala input, cadangan serta saranan yang dikongsikan. Kami akan susuli sebaiknya,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *