KUANTAN, 16 Okt — Negara anggota ASEAN yang mengadakan mesyuarat tergempar Menteri-menteri Luar sepakat membuat keputusan tidak mengundang Jeneral Min Aung Hlaing yang mengetuai rampasan kuasa Myanmar Februari lalu.
Bagaimanapun, negara tersebut dibenarkan menghantar wakil bukan politik bagi menyertai Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, cadangan Menteri Luar II Brunei, Erwan Mohd. Yusof dalam mesyuarat tersebut yang diambil kira selepas junta tentera Myanmar gagal memenuhi lima konsensus yang telah dipersetujui, April lalu.
Menurutnya, ia juga termasuk kerana tidak membenarkan Utusan Khas ASEAN Erwan Mohd. Yusof mengunjungi negara bergolak itu bagi mengadakan pertemuan bersama beberapa pemimpin berkaitan.
“Kami dimaklumkan kerajaan pimpinan jeneral Aung Hlaing enggan membenarkan Erwan menemui bekas Perdana Menteri Myanmar, Aung Sang Suu Kyi.
“Perkara tersebut jelas menunjukkan mereka (junta tentera Myanmar) tidak mematuhi konsensus lima perkara dipersetujui sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN diadakan pada 26 hingga 28 Oktober secara maya bagi membincangkan pelbagai agenda, terutamanya membabitkan isu Covid-19 dan gelembung pelancongan antara negara ASEAN.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, walaupun junta tentera Myanmar membenarkan Erwan mengunjungi negara itu, namun tindakan mereka tidak membenarkan Erwan berjumpa dengan Suu Kyi begitu mengecewakan.
“Jadinya, (mesyuarat tergempar) semalam kita buat keputusan itu, tidak membenarkan jeneral Aung Hlaing menyertai sidang kali ini.
“Namun, ia tidaklah bermakna kita mahu menyingkirkan Myanmar dari ASEAN. Kita tidak pernah mempersoalkan cara rakyat negara dalam ASEAN untuk memilih kerajaan mereka, itu hak merekalah,” katanya.
Khamis lalu, jurucakap junta tentera Myanmar, Zaw Min Tun dilaporkan Reuters berkata, pihaknya tidak akan membenarkan Erwan mengadakan pertemuan dengan Suu Kyi yang kini dikenakan perintah tahanan di rumah.
Bagaimanapun Min Tun berkata, sistem perundangan negara itu adalah adil dan bebas bagi menangani kes Suu Kyi yang didakwa terbabit dengan pelbagai salah laku, termasuk penipuan dalam pilihan raya negara berkenaan pada November tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan Myanmar tetap menghantar wakil ke sidang kemuncak kali ini dan menyifatkan keputusan tidak menjemput wakil kerajaan junta tidak menjejaskan hubungan antara Myanmar dan negara anggota ASEAN lain.
Sementara itu, Saifuddin turut menjelaskan keputusan yang dibuat mengenai dakwaan kononnya beliau terbabit dengan proses kerajaan menarik diri daripada membuat rayuan mengenai tuntutan Pedra Branca atau Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah tidak tepat sama sekali.
“Keputusan menarik diri daripada membuat rayuan di ICJ dilakukan pada 28 Mei 2018 dan proses lantikan Menteri Kabinet ketika itu iaitu Pakatan Harapan (PH) diadakan sebanyak dua sesi.
“Sesi pertama hanya 10 Menteri dilantik dan saya hanya mengangkat sumpah sebagai Menteri Luar pada 2 Julai 2018. Saya fikir adalah jelas bahawa ia (keputusan menarik diri daripada membuat rayuan) bukan keputusan saya,” katanya.