Cadangan naikkan harga lantai getah sekerap akan diteliti

BALING, 17 Okt — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan meneliti cadangan untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram ketika ini kepada RM3.50 sekilogram sebagai usaha membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil di negara ini.

Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya perlu membuat perbincangan teliti mengenai perkara itu bersama pegawai berkaitan di bawah kementeriannya termasuk Lembaga Getah Malaysia (LGM) serta pihak daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Saya perlu teliti di peringkat kementerian apakah perkara yang saya harus ambil kira, di manakah kewangan yang boleh kumpulkan untuk saya pastikan boleh meningkatkan harga lantai getah.

“…Pengerusi Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) ada suarakan (cadangan itu) kepada saya, kita kena duduk bersama-sama (berbincang mengenai cadangan itu),” katanya pada sidang media selepas menyantuni dan sesi dialog bersama 150 pekebun kecil di sini hari ini.

Jumaat lepas, media melaporkan kerajaan diminta mempertimbangkan menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram mulai Januari tahun hadapan untuk membantu lebih ramai penoreh getah keluar daripada garis kemiskinan.

Pengerusi Risda Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dipetik sebagai berkata harga lantai getah sekerap RM2.50 sekilogram ketika ini jauh lebih rendah berbanding kelapa sawit yang mencecah RM1,100 setiap tan sekali gus mewujudkan jurang yang besar antara pengusaha kebun getah dan kelapa sawit.

Dalam pada itu, Zuraida berkata Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (TARGET) yang merupakan projek pembangunan Pusat Pemprosesan Getah Krip Berkelompok di seluruh negara bakal diperkenalkan kepada industri huluan getah.

Beliau berkata projek itu keseluruhannya akan dapat menjayakan transformasi sektor pekebun kecil dengan merealisasikan rantaian nilai bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan pendekatan pemprosesan berkelompok dan perkongsian keuntungan secara bersama pada peringkat pekebun kecil, koperasi dan usahawan.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya melaksanakan inisiatif menggunakan teknologi baharu dari Thailand yang masih dalam percubaan untuk meningkatkan hasil getah selain perusahaan ladang akan menjadi lebih mampan dan lestari.

“Teknologi ini masih peringkat percubaan, kita nak tengok kejayaan (penggunaan teknologi baharu itu) 100 peratus dulu, baru kita perkenalkan kepada pekebun kecil di seluruh negara,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *