KUALA LUMPUR, 22 Okt — Kerajaan dicadang untuk membenarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan pandemik COVID-19.
Pengerusi PTPTN yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata dalam keadaan ekonomi yang sedang dalam pemulihan sekarang ini, ramai yang masih menghadapi masalah kewangan.
“Tetapi jika moratorium sukar dilaksanakan, saya nyatakan bahawa kerajaan patut berikan diskaun paling kurang 20 peratus kepada peminjam yang membuat bayaran penuh.
Dan, saya juga minta kita beri diskaun kepada mereka yang membayar menggunakan potongan direct debit bulanan sebagai reward kepada mereka yang membayar mengikut jadual.
“Diskaun ini merupakan satu perkara yang popular dan sering disebut dalam sesi-sesi libat urus yang kami jalankan. Saya harap kerajaan akan pertimbangkan untuk Bajet 2022.
“Saya juga sampaikan surat rasmi daripada saya selaku Pengerusi PTPTN kepada YB Menteri Kewangan mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malam tadi, satu sesi taklimat Bajet 2022 dihadiri ketua-ketua penerangan dari pelbagai parti politik bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berlangsung di Kementerian Kewangan.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata sesi ini adalah kesinambungan usaha kerajaan dalam menjadikan Bajet2022 sebagai sebuah bajet yang inklusif, dengan pendekatan Seluruh Negara (Whole-of-Nation) tanpa mengira latar belakang mahupun fahaman politik.
“Langkah-langkah inklusif yang diambil kerajaan di setiap peringkat adalah demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. MOF sentiasa bersifat terbuka untuk mendengar dan menerima sebarang bentuk cadangan yang dapat menambah baik langkah-langkah yang dilaksanakan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua wakil-wakil yang telah hadir pada malam ini, Team MOF amat menghargai semangat kebersamaan anda. InsyaAllah, input yang diberikan akan diteliti dan diterapkan ke dalam Bajet 2022,” katanya.