PDRM tambah 1,538 anggota bertugas di PRN Melaka

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah 1,538 anggotanya di Melaka bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu bulan hadapan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ketika ini keanggotaan sedia ada di negeri berkenaan adalah seramai 1,752 anggota.

“Hari ini, kami telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara dan sedang membincangkan SOP PRN Melaka, yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.

“Oleh yang demikian, apabila kami mendengar SOP yang dicadangkan SPR kemungkinan kami terpaksa bersiap sedia untuk menambah jumlah anggota untuk bantu SPR,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat Posthumous dan Skim ‘Ex-Gratia’ Bencana Kerja di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Hamzah berkata jumlah keanggotaan itu akan berkemungkinan akan ditambah dari semasa ke semasa dan akan meminta bantuan daripada kontinjen negeri lain.

Sebelum ini, SPR mengumumkan tarikh pelaksanaan PRN Melaka pada 20 Nov ini manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

Sementara itu, pada majlis berkenaan tiga anggota PDRM yang terkorban semasa penugasan pada 11 Julai dan 8 Ogos lepas, dinaikkan pangkat secara ‘Posthumous’, selain waris mereka menerima pampasan menerusi Skim ‘Ex-Gratia’ Bencana Kerja.

Mereka yang dinaikkan pangkat adalah Allahyarham Sarjan Mohd Arifah Md Yasin kepada Sarjan Mejar, Allahyarham Koperal Abdul Rahman Nordin kepada Sarjan dan Allahyarham Konstabel Mohd Muradzi Mohd Nawi kepada Lans Koperal.

“Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM ini adalah skim yang memberi pampasan kepada Pegawai Perkhidmatan Awam termasuk pegawai polis dan pegawai awam PDRM, yang ditimpa bencana kerja semasa menjalankan tugas rasmi hingga menyebabkan hilang upaya kekal dan meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata KDN tidak akan kompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan sebarang tindakan boleh membahayakan nyawa anggota PDRM, serta tidak bertolak ansur terhadap perbuatan menghalang anggota PDRM melaksanakan tugas.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *