MASJID TANAH, 24 Okt — Pintu rundingan untuk mengadakan kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dengan UMNO-Barisan Nasional (BN) masih belum tertutup.
Justeru, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, UMNO perlu segera membuat keputusan sama ada mahu bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atau bertembung sesama sendiri pada 20 November depan.
“Itu (kata) Presiden UMNO dan pandangan beliau sebagai presiden tapi saya juga dapat banyak maklumat daripada pemimpin UMNO yang mereka mahu diwujudkan satu kerjasama dengan PN tetapi ini masalah dalaman UMNO yang tidak perlu kami campur.
“UMNO perlu buat keputusan muktamad mahu atau tidak bekerjasama dan biarlah rakyat yang menjadi hakim menentukan mana parti yang menolak perpaduan dan mana parti yang mahu mewujudkan kerjasama demi kestabilan negeri dan negara,” katanya ketika ditemui media selepas berucap di di hadapan jentera PRN PN di Masjid Tanah hari ini.
Mohamed Azmin ditanya mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang PRN Melaka, 20 November ini.
Tambah Ahmad Zahid, keputusan itu adalah muktamad seperti mana telah dibuat oleh semua perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.
Ahli Parlimen Gombak itu turut ditanya sama ada keputusan itu dibuat disaat-saat akhir, beliau berkata, pihaknya telah memberikan ruang dan masa kepada UMNO-BN namun belum disambut.
“Kita tidak pernah tutup pintu perbincangan tetapi masa itu penting untuk kita buat keputusan awal sebagai persediaan bagi jentera yang lebih efektif peringkat akar umbi.
“Pas, Gerakan dan Bersatu ktia sudah sampai ke tahap untuk menghadapi hari penamaan calon namun UMNO masih belum lagi membuat keputusan yang muktamad maka kita harap keputusan dapat dibuat lebih awal dan tidak disaat akhir.
“Bagi Bersatu, Pas dan Gerakan perpaduan itu amat penting untuk menghadapi pelbagai bentik cabaran semasa dan negeri Melaka ini yang amat berpotensi dalam banyak sektor ekonomi khususnya sektor pelancongan dan perindusrian,” katanya lagi.
Dalam ucapannya di majlis sama, Mohamed Azmin berkata, PN tidak akan menunggu pihak lain yang jelas tidak mahu bersama-sama dengan gabungan tersebut.
Beliau berkata, PN hanya menganjurkan perpaduan dan kebersamaan yang insklusif bagi pelbagai kaum di negara ini.
“Kalau ada pihak yang tidak mahu bersama kita biarkan mereka perang. Kita bertanggungjawab jaga kepentingan Islam dan Melayu tapi pada masa yang sama orang Cina rakyat Malaysia, India mereka jadikan Melaka jadi tanggungjawab kita PN wakili seluruh rakyat dalam PRN Melaka,” katanya lagi.