SEGAMAT, 25 Okt — Projek jalan baharu yang akan menghubungkan Pekan Paloh, Kluang ke Pekan Bekok di sini dengan peruntukan kira-kira RM199 juta, dijangka bermula pada suku kedua tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri berkata projek dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 29,200 penduduk tempatan.
“Buat masa ini, projek menghubungkan dua daerah ini dalam peringkat reka bentuk, dijangka bermula pada pertengahan tahun depan selepas tender dan kita jangkakan dalam tempoh tiga tahun jalan baharu dengan dua laluan ini akan siap sepenuhnya.
Dengan adanya projek berimpak tinggi ini, ia akan memendekkan jarak dan masa perjalanan pengguna dari Daerah Segamat ke Kluang,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek berkenaan di Bekok, di sini, hari ini.
Beliau berkata ketika ini, penduduk akan mengambil masa lebih satu jam perjalanan sehala dari Bekok ke Paloh melibatkan jarak kira-kira 71 kilometer manakala jalan baharu itu hanya akan mengambil masa kurang 30 minit dengan jarak kira-kira 13 kilometer sehala.
“Ketika ini, sekiranya pengguna daripada kedua-dua lokasi berkenaan, mereka terpaksa melalui perjalanan yang agak jauh iaitu laluan Batu Pahat dan Yong Peng,“ katanya sambil menambah projek baharu itu juga akan memberi manfaat kepada pembangunan kawasan sekitar yang mana kebanyakan penduduknya menjalankan aktiviti pertanian.
Dengan adanya pembangunan itu, beliau berkata akan turut merancakkan lagi sektor pelancongan di Bekok yang terkenal dengan keindahan Taman Eko Rimba Sungai Bantang sekali gus mampu menjana ekonomi penduduk setempat di sepanjang jajaran jalan antara Paloh dan Bekok.
“Oleh kerana Segamat akan dimasukkan dalam program pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam sektor pertanian, saya rasa projek ini akan membantu lagi pembangunan kawasan ini.
Apatah lagi lokasi projek baharu itu tidak jauh dari Pekan Bekok iaitu lebih kurang 500 meter dan ada juga stesen kereta api yang sedang dibina, ia bukan sahaja menambahkan lagi ‘accessibility’ (akses) kepada penduduk dari dalam dan luar malah termasuk kepada pelancong,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Kerja Raya yang akan membangunkan projek berkenaan, selain Kementerian Kewangan yang meluluskan projek sekali gus menjadikannya antara projek pembangunan RMK-12.