KUALA LUMPUR, 25 Okt — Persekitaran kondusif membabitkan kemudahan kewangan, insurans pertanian, pendigitalan produk dan penyediaan akses pasaran dalam talian, bakal disediakan bagi menarik penyertaan lebih ramai golongan belia menceburi sektor agromakanan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata penerimagunaan teknologi yang lebih meluas juga dijangka mampu menarik minat golongan tersebut, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan melonjakkan hasil ekonomi negara.
“Walaupun pada 2020 kita berhadapan pandemik COVID-19, sektor agromakanan menunjukkan pertumbuhan yang positif. Saya yakin menerusi perlaksaan program yang rapi dan efisien, sektor ini mampu membantu ekonomi negara,” katanya selepas Majlis Perlancaran Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0), di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri MAFI I dan II, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid serta Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.
Ronald berkata anak muda kini banyak terbabit sebagai penyedia perkhidmatan yang membuatkan mereka secara tidak langsung terlibat dalam sektor ini.
“Mereka ada yang menawarkan perkhidmatan pengendalian dron kepada pesawah dan dron bagi pertanian yang lain. Kita mahu lihat anak muda ini bukan sahaja sebagai penyedia perkhidmatan digital, malah terlibat dalam penanaman dan semua rantaian agro,” katanya.