KUALA LUMPUR, 30 Okt — Bajet 2022 akan mentransformasikan sektor pertanian untuk lebih moden dan dinamik sekali gus menjadikan Malaysia lebih kompetitif sebagai pengeluar utama makanan dunia, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Dalam Bajet 2022, katanya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diperuntukkan RM4.82 bilion untuk memacu pemodenan sektor pertanian dalam meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan, menjana pendapatan lebih tinggi serta menarik lebih ramai generasi muda agropreneur.
Peruntukan itu adalah sebanyak RM3.28 bilion bagi tujuan perbelanjaan mengurus (OE) dan perbelanjaan pembangunan (DE) RM1.54 bilion, katanya.
“Bajet dirangka ini turut merangkumi pelbagai bantuan dan inisiatif strategik serta bersasar yang pastinya akan membantu seluruh rakyat Malaysia sepanjang tempoh pemulihan ekonomi di semua sektor termasuk sektor pertanian dan industri makanan,” katanya dalam kenyataan mengenai Bajet 2022 hari ini.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat semalam berkata pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian serta perikanan akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion.
Ronald berkata secara amnya, kesemua subsidi dan insentif untuk tahun 2022 dikekalkan seperti tahun ini dan ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengekalkan momentum pengeluaran makanan dalam negara khususnya tanaman padi yang merupakan komoditi tanaman makanan utama negara.
Menurutnya, inisiatif bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan berjumlah RM120 juta akan dilaksanakan pada tahun depan antaranya projek jaminan bekalan makanan melibatkan pelbagai negeri termasuk pembangunan industri akuakultur dan estet kerang-kerangan di Johor.
“Inisiatif-inisiatif ini akan meningkatkan sekuriti makanan negara melalui pengurangan kebergantungan terhadap import dari luar negara khususnya makanan ternakan di samping meningkatkan nilai tambah dan kecekapan rantaian nilai agromakanan,” katanya.
Mengenai cadangan tanah terbiar milik kerajaan Persekutuan dan tanah Rizab Melayu dicadang disewakan bagi projek pertanian atau perniagaan di bawah Bajet 2022, Ronald berharap tanah-tanah tersebut dapat diurus secara optimum serta dapat mengatasi masalah kekurangan tanah pertanian secara efektif dan teratur.