Buli: KPWKM sedia beri perkhidmatan kaunseling

KOTA BHARU, 15 Dis – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia memberi perkhidmatan kaunseling dan psikososial kepada mangsa buli dan keluarga jika diperlukan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan masalah buli terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dapat dibanteras.

“Berkaitan isu buli ini kebanyakannya berlaku di sekolah dan ada juga yang melibatkan kanak-kanak. Kalau di sekolah, pengawasan dan tindakannya perlu melibatkan sekolah.

“Namun kita sentiasa terbuka untuk bantu dan di sekolah pun ada kaunselor, sekiranya memerlukan bimbingan psikososial pun kita sedia membantu.

“Kita ada Lembaga Kaunselor dan ada kaunselor di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kita sentiasa bersedia,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu buli melibatkan seorang pelajar sekolah berasrama sehingga video tersebut tular di laman sosial sejak Jumaat lalu.

Rina sebelum itu merasmikan Program MyKasih Kapital anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang diadakan di Hotel Perdana, di sini.

Mengulas lanjut, Rina memberitahu, pihaknya juga berharap perkhidmatan kaunselor di sekolah dipertingkatkan sekali gus dapat membimbing pelajar supaya tidak menjadikan buli sebagai tradisi.

“Kita perlu wujudkan semangat kasih sayang, kita berada di sekolah, maka kita perlu anggap rakan-rakan seperti ahli keluarga dan adik-beradik kita,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, beliau turut melakukan gimik penyampaian geran Program MyKasih Kapital sebanyak RM500 seorang kepada perserta yang hadir.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *