Program Podium tidak akan dihentikan

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak akan menghentikan Program Podium di sebalik ketiadaan peruntukan khusus untuk program itu.

Sebaliknya, beliau berkata pihaknya akan berusaha mencari dana menerusi kerjasama dengan pihak swasta bagi memastikan program latihan atlet berprestasi tinggi secara sepenuh masa itu dapat diteruskan.

“Kita tidak kata Program Podium ini akan dikorbankan atau dihentikan terus susulan ketiadaan peruntukan yang sama seperti sebelum ini.

“Sebaliknya, dengan apa yang ada, kita akan meneruskannya dan antara langkah yang perlu diambil ialah dengan mengurangkan jumlah atlet iaitu memilih mereka yang benar-benar berpotensi memenangi pingat.

“Jika tidak silap kita, lebih 400 atlet atlet Program Podium yang berkampung di MSN dan ia satu jumlah yang besar,” katanya selepas Majlis Pentauliahan Tahap Emas Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) 2021, hari ini.

Semalam, Lembaga Pengurus MSN menetapkan pencapaian di peringkat tertinggi sebagai petunjuk prestasi utama untuk membolehkan atlet kekal dalam Program Podium bermula tahun depan.

Syarat ketat itu terpaksa diambil berikutan tiadanya peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamatnya temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ahmad Faizal berkata, pihaknya amat memerlukan sokongan pihak swasta bagi memastikan tiada atlet yang berpotensi tertinggal untuk diberikan latihan berkualiti tinggi.

“Saya harap syarikat swasta dapat ke depan bersama kami memandangkan tahun depan kita ada tiga kejohanan besar iaitu Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

“Kita semua boleh raikan kemenangan apabila atlet pulang dengan pingat emas atau sebagainya dan rakyat gembira. Begitu juga tewas, rakyat berasa dukacita.

“Namun, saya harap usaha untuk melatih mereka ini dapat kita pikul secara bersama,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *