KUALA LUMPUR, 18 Dis – Pengalaman ‘setahun jagung’ dimiliki kebanyakan jentera BERSATU antara faktor gerak kerja parti itu tempang hingga menyumbang kepada kekalahan teruk calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua ARMADA BERSATU, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mengakui rata-rata ahli parti itu tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini, sekali gus menyebabkan mereka kurang berpengalaman dalam medan pilihan raya.
Namun, katanya, kekalahan PRN Melaka, selain pengalaman dalam PRN Sabah hujung tahun lalu, memberi pengajaran bermakna untuk jentera parti merancang gerak kerja pada pilihan raya akan datang.
“Benar, ini antara cabaran utama BERSATU, dan ARMADA. Kebanyakan yang menyertai BERSATU tidak pernah menyertai parti politik lain sebelum ini. Ahli ARMADA pun semua pertama kali sertai politik. Saya pun pertama kali isi borang parti politik.
“Jadi memang kami kurang pengalaman dan ilmu, tapi kami akan dimatangkan dengan pengalaman yang dilalui di Sabah dan Melaka dengan belajar daripada kelemahan dan kita akan baiki tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
“Yang penting, kita tahu bagaimana untuk kekal relevan pada pilihan raya akan datang dan ARMADA perlu ada perancangan dan strategi yang khas,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ARMADA BERSATU di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa kelemahan jentera BERSATU ketika PRN Melaka, yang dibangkitkan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dalam ucapan perasmian PAT ARMADA dan SRIKANDI BERSATU.
Terdahulu, Ahmad Faizal dalam ucapan perasmiannya berkata, sikap menuding jari dan menyalahkan sesama sendiri adalah antara kelemahan yang menyumbang kepada kekalahan besar Perikatan Nasional (PN), khususnya calon BERSATU di PRN Melaka.
Jentera BERSATU juga dilihat mengamalkan model politik lama apabila lebih gemar berkumpul sesama sendiri dan berseronok di Melaka, berbanding turun mendekati rakyat, selain kurang ‘ilmu pilihan raya’ serta kurang semangat berpasukan.
PRN Melaka menyaksikan PN tewas di 26 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, dengan BERSATU yang mempertaruhkan 15 calon mewakili PN hanya menang dua kerusi.