KUALA LUMPUR 14 Jan. – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan menegaskan, tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengisytiharan darurat bukanlah satu langkah politik.
Katanya, Perdana Menteri bukan tidak mahu mengadakan pilihan raya, tetapi keadaan tidak membenarkan.
”Pengisytiharan darurat bukan bermakna demokrasi sudah mati. Ini hanya langkah sementara. Rakyat kekal menjalani kehidupan seperti biasa malahan dalam keadaan lebih stabil.
“Setiap orang ada pendapat masing-masing, tetapi Perdana Menteri sendiri sudah menjelaskan bahawa tindakan itu adalah demi kebaikan rakyat dan negara.
“Kita perlu pastikan rakyat menerima infomasi yang betul dan diberitahu mengapa tindakan ini perlu dibuat,” katanya dalam temu ramah bersama stesen radio BFM hari ini.
Tambah beliau, Perdana Menteri turut berbincang dengan beberapa pihak seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak istana dalam hal berkenaan.
“Pihak kerajaan sedar dengan kebimbangan rakyat dan akan berbincang dengan pelbagai pihak bagi memastikan ‘check and balance’ itu ada,” katanya.
Selain itu, Wan Saiful juga berkata, pihaknya sentiasa berbincang sesama parti komponen lain dalam hal terkini.
“Pihak kami lebih gemar untuk menyimpan hal ini di dalam bilik mesyuarat dan tidak mendedahkan ke khalayak ramai,” katanya.