PM turun tinjau pusat kuarantin

19 Januari: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah turun meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 2.0 (PKRC) di MAEPS, Serdang bagi melihat sendiri pengurusan PKRC dan pesakit-pesakit COVID-19. Hadir bersama-sama Perdana Menteri ialah YB Menteri Kesihatan Dato’ Sri Dr Adham Baba dan YAB Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.

Berdasarkan taklimat yang diberikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman, Perdana Menteri menzahirkan rasa cukup bangga dengan segala usaha dan penat-lelah semua petugas barisan hadapan dari pelbagai agensi bagi memastikan penyediaan fasiliti dan perkhidmatan terbaik kepada para pesakit.

“Apa yang dilakukan di MAEPS, iaitu mengoperasikan Taman Ekspo Pertanian ini sebagai PKRC dalam tempoh 3 hari dengan kapasiti permulaan sebanyak 3,100 katil, adalah satu tindakan luar biasa dalam situasi yang luar biasa. Untuk makluman, tujuh (7) buah dewan telah digunakan dengan kapasiti maksimum 10,000 katil dan sehingga hari ini, sebanyak 9,200 katil sedang digunakan”, ujar Perdana Menteri.

Menurut laporan itu lagi, kemudahan di sini juga sedang dinaik taraf secara berfasa untuk dijadikan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0. Setelah dinaik taraf, fasiliti ini boleh merawat 30 pesakit COVID-19 berisiko tinggi dan juga mampu merawat 10 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen sehinggalah ke bantuan pernafasan.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri juga berpeluang untuk berinteraksi dengan pesakit-pesakit COVID-19 yang sedang menjalani kuarantin di salah sebuah dewan di situ.

“Alhamdulillah, mereka semua kelihatan bersemangat, ceria dan berpuas hati dengan perkhidmatan serta rawatan yang diberikan. Pada sesi interaksi itu, saya mengingatkan mereka supaya kuat semangat dan banyakkan bersabar dalam menghadapi ujian ini”, nasihat beliau.

Tidak lupa juga Perdana Menteri mengambil kesempatan bertemu dengan para frontliners yang bertugas di pusat itu. Beliau sangat bangga melihat kesungguhan serta kesabaran mereka dalam melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan memberikan rawatan yang terbaik buat semua pesakit.

“Saya berdoa agar semua pesakit COVID-19 terus bersemangat menjalani tempoh yang sukar ini dan semoga mereka semua diberikan kesembuhan. Insya-Allah.Kepada frontliners, saya doakan agar anda semua dikurniakan kesabaran dan kekuatan untuk terus berjuang menentang COVID-19”, kata-kata dari beliau.

 

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *