PTPTN jamin proses permohonan tangguh bayaran mudah, cekap

KUALA LUMPUR, 21 Jan –  Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi jaminan, permohonan penangguhan bayaran balik pinjamannya dipermudah dan cekap kepada semua pemohon.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, berkata pihaknya akan memastikan, tiada kompromi dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat.

Katanya, melalui penangguhan pembayaran balik pinjaman ia diharap sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung peminjam PTPTN.

“Keputusan penangguhan bayaran balik adalah bukti keprihatinan PTPTN terhadap mereka yang terjejas akibat musibah banjir.

“Justeru saya sudah meminta supaya semua pegawai di PTPTN supaya dapat memastikan proses memohon penangguhan ini berjalan dengan kaedah yang paling mudah untuk rakyat dan paling berkesan.

“Kita tidak mahu birokrasi yang berlebihan dalam melaksanakan program bantuan ini,” katanya.

Selain itu katanya, PTPTN turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menyambut baik inisiatif Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada Isnin lalu.

Dalam pengumuman itu, Perdana Menteri mengumumkan penangguhan bayaran balik kepada peminjam PTPTN yang terjejas akibat bencana banjir.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dan PTPTN bagi membantu dan meringankan beban kewangan yang ditanggung peminjam.

“Sebelum ini penangguhan bayaran balik diberikan ekoran wabak COVID-19 kini diperluaskan kepada bencana banjir.

“Permohonan boleh dibuat secara dalam talian (online) tanpa perlu hadir ke kaunter cawangan PTPTNjuga adalah antara keprihatinan kami untuk memudahkan urusan peminjam,” katanya.

Beliau berkata, peminjam boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my/PenangguhanKhasBayaranBalik mulai hari ini hingga 31 Mac depan.
Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan ketika membuat permohonan.

Katanya, penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat bencana banjir ini akan diberikan selama tiga bulan bermula pada bulan sama kelulusan permohonan yang diberikan PTPTN dan dua bulan berikutnya antara Januari hingga Mei 2021.

“Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel yang dikemukakan dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

“Untuk itu, peminjam diingatkan mengemaskini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat kelulusan permohonan penangguhan itu dapat disampaikan kepada peminjam,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *