KUALA LUMPUR 21 Jan. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Lembah Pantai membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Ketua BERSATU bahagian berkenaan Ir. Zainal Ariffin Osman berkata, laporan itu dibuat terhadap kebiadapan dan penderhakaan Anwar yang mencabar institusi Beraja dan Yang di-Pertuan Agong dalam Proklamasi Darurat.
Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Bahagian Lembah Pantai, Alaric Aznan di Balai Polis Pantai Baharu (IPD Brickfields).
”Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera mengikut lunas dan peraturan undang-undang negara.
”Semua orang tertakluk kepada undang-undang, begitu juga Anwar, dia tidak kebal,” katanya.
Beliau seterusnya mengingatkan mana-mana ahli politik pembangkang supaya jangan sekali-kali cuba mencabar hak Yang di-Pertuan Agong.
”Setiap kita sepatutnya bersama-sama membantu kerajaan dalam menangani Covid-19, masalah ekonomi negara dan bukannya sibuk berpolifik untuk berebut jawatan,” katanya.