“Saya bukan boneka Musa Aman” – Hajiji

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor menafikan dakwaan kononnya beliau adalah boneka kepada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.


Hajiji menolak sekeras-kerasnya dakwaan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kononnya beliau (Hajiji) akan dikawal oleh Musa sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.


Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman itu berkata, dakwaan itu tidak benar kerana beliau sendiri sudah lama berkecimpung dalam arena politik negeri.


“Saya dah matang dalam politik. Tidak ada satu orang pun boleh kawal apa yang tersirat dan apa perancangan saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sub Marks PN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Kindu, di sini, hari ini.


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini membayangkan kemungkinan Hajiji dilantik sebagai Ketua Menteri jika gabungan PN dan sekutunya berjaya membentuk kerajaan baharu Sabah.


Malam tadi, Mohd Shafie, yang juga Ketua Menteri Sabah, membuat dakwaan tersebut ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Bersama Rakyat di Kota Kinabalu.


Bagaimanapun, Hajiji meminta Mohd Shafie supaya tidak melibatkan orang lain seperti Musa dalam kempen ceramahnya kerana penyandang kerusi DUN Sungai Sibuga itu tidak bertanding dalam PRN Sabah kali ini.


“Beliau (Musa) tidak lagi menjadi calon. Walaupun mungkin beliau ada berkempen di beberapa kawasan, tetapi saya fikir, kenapa tumpuan diberi kepada beliau… Kutuk beliau, bermacam-macam. Tidak adil bagi beliau (kerana) ada yang keterlaluan sehingga fitnah dan sebagainya.


“Isu kita ialah untuk memulihkan ekonomi rakyat, membantu rakyat dan masa depan negeri Sabah. Kenapa pula kita hentam orang lain yang tidak terlibat dalam pilihan raya? Jadi, bagi saya itu tidak berapa manis didengar oleh rakyat,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, beliau mempunyai banyak perancangan bagi terus membangunkan DUN Sulaman, yang disandangnya sejak 1990, termasuk sektor pertanian, perikanan dan infrastruktur kemudahan asas diperlukan penduduk.


Beliau juga memberi jaminan untuk terus melakukan yang terbaik demi kesejahteraan penduduknya terutama dalam menjana semula ekonomi dan pendapatan sekiranya diberikan peluang menjadi wakil rakyat kawasan itu pada pilihan raya kali ini.


Hajiji akan bersaing dengan dua pencabar lain iaitu calon Warisan Datuk Aliasgar Basri dan Datuk Rekan Hussien (Parti Cinta Sabah) dalam pertarungan tiga penjuru bagi kerusi DUN Sulaman yang mempunyai 11,711 pengundi pada PRN Sabah ini, 26 September ini.


Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Hajiji memperoleh 12,966 undi mengalahkan dua pencabar lain iaitu Abdullah Sani Daud (Warisan) yang mendapat 5,192 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah Arifin Harith (467 undi). – BERNAMA

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *