Syor KPT bayar balik kos ringankan beban penuntut

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disaran mempertimbangkan bayaran balik kos ditanggung penuntut institut pengajian tinggi (IPT) berikutan penangguhan pendaftaran kemasukan secara bersemuka.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Razali Idris, berkata penangguhan pendaftaran secara bersemuka diputuskan serta merta menyebabkan ada penuntut dan ahli keluarga terbeban dengan kos pengangkutan serta penginapan.

Beliau berkata, paling terkesan adalah penuntut yang ditawarkan melanjutkan pengajian di universiti awam (UA) di Sabah dan Sarawak.

“Kita dihubungi keluarga penuntut yang meminta kerajaan terutamanya KPT supaya mencari kaedah sesuai bagi meringankan bebanan kewangan berikutan ada antara mereka terpaksa berpatah balik selepas dimaklumkan penangguhan pendaftaran secara bersemuka yang dibuat secara tergesa-gesa.

“Penuntut yang ditawarkan melanjutkan pengajian di UA di Sabah dan Sarawak pula terpaksa menyewa hotel disebabkan penangguhan itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa BERSATU peringkat negeri, di sini, hari ini.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri berkata demikian ketika mengulas penangguhan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi pelajar baharu dan lama, sebaliknya urusan pendaftaran digalak dilaksana secara dalam talian.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad memohon maaf terhadap kesulitan yang timbul susulan penangguhan serta-merta pendaftaran secara bersemuka bagi kemasukan Oktober.

Razali yang juga Timbalan Majlis Senator Malaysia (MSM) menjelaskan, keputusan KPT menangguhkan pendaftaran kemasukan secara bersemuka adalah bertepatan bagi mengelak dan membantu kerajaan mengurangkan peningkatan kes COVID-19, terutama membabitkan penuntut.

“Saya dimaklumkan, lebih 3,000 penuntut sudah ke lokasi UA dan IPT untuk membuat persiapan awal sebelum melaporkan diri, tetapi terpaksa berpatah balik disebabkan penangguhan pendaftaran secara bersemuka.

“Susulan itu, ahli keluarga penuntut meminta kerajaan mencari kaedah termasuk mempertimbangkan bayaran balik kos pengangkutan dan penginapan,” katanya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *